Aku memang bukan seorang peminat besar (big fans) bila mana pertandingan antara seni mempertahankan diri berlainan dianjurkan!
Ini kerana ketiadaan peraturan rasmi yang selaras menjadikan ia sukar untuk melihat arah tuju pertandingan sebegitu. Adakah kebolehan skil, kekuatan kudrat atau kelicikan peserta yang boleh menjadi taruhan? Apakah yang cuba dicapai? Menemui satu MA yang ultimate? Seunggul mana pula MA itu apabila peserta mereka memenangi pertandingan seumpama itu?
Dalam sesuatu pertandingan yang melibatkan perlawanan antara berlainan MA, objektif utama harus ditetapkan iaitu siapakah pelawan terhandal yang dicari. Namun, kerana ia bersifat sukan, dan seperti juga sukan-sukan lain, satu peraturan selaras adalah diperlukan. Ini kecualilah jika satu format pertarungan jalanan ingin diterapkan, yang bermakna satu pertarungan seni bela diri tanpa sebarang peraturan dijalankan (mungkin dengan pengecualian kepada penggunaan senjata), tetapi timbul persoalan, sistem pemarkahan apakah yang akan digunakan? Adakah perlawanan sehingga salah satu pihak maut (yang sudah tentu akan menjadikannya sangat ekstrim!)?
Kemunculan banyak seni bela diri masa kini yang berevolusi kepada sukan, menjadikan setiap seni bela diri mempunyai peraturan tersendiri dalam sukan tempur mereka. Peraturan-peraturan ini adalah berdasarkan kepada aspek manakah yang cuba dititik beratkan oleh sesuatu seni bela diri itu sendiri. Silat sebagai contoh, bukan sahaja mementingkan pelawan atau peserta yang paling handal untuk memenangi sesuatu pertandingan mereka, malah peserta ini dijangka akan memenuhi ciri-ciri pahlawan silat sejati yang mengikuti segala peraturan dan adab seorang pelawan silat. Antaranya ialah tidak melakukan serangan ke kepala, tidak menyerang bahagian sulit, dan memulakan langkah baru dengan sedikit 'bunga silat' sebagai permulaan gerakan serangan atau pertahanan. Mengapa semua ini penting dan dimasukkan ke dalam peraturan silat olahraga? Kerana silat cuba menitikberatkan ciri-ciri warisan ini ke dalam para pelatih mereka. Jika dilihat dari segi keefektifan 'bunga silat' sebagai contoh dalam perlawanan jalanan atau medan perang yang sebenar, tidaklah ia memberikan satu kepelbagaian yang berguna bagi pesilat itu sendiri dalam memenangi musuh mereka, tapi itulah disiplin yang cuba diterapkan kepada pesilat oleh tok-tok guru mereka, dan objektif disebaliknya tidaklah dapat difahami kecuali oleh pesilat itu sendiri...
Dalam Taekwondo lain pula halnya. Penggunaan kaki atau tendangan adalah lebih dipentingkan, dan tendangan tinggi memberikan lebih mata sesuai dengan objektif Taekwondo yang lebih menitik beratkan kepada tendangan sebagai senjata utama! Harus difahami, sukan tempur bukanlah bertujuan secara hak untuk menentukan keefektifan sesuatu seni bela diri dalam mempertahankan diri itu sendiri bagi pelatihnya, namun sukan tempur merupakan sebahagian daripada seni bela diri, yakni pengalaman dalam menyertai latihan dan pertandingannya membantu pelatih dalam suasana yang memerlukan mereka menggunakan kemahiran mempertahankan diri mereka, bukannya menggunakan sukan tempur sebagai kemahiran mutlak dalam pertarungan jalanan kerana pertarungan jalanan tidak terikat kepada peraturan dan honour, tetapi lebih kepada kelicikan dan sedikit sebanyak pengetahuan seni bela diri!
Jadi, dalam melaksanakan pertandingan antara seni bela diri yang berlainan, satu peraturan selaras perlu diperkenal dan dipersetuju oleh setiap kepimpinan/masters dalam seni bela diri yang ingin bertanding, kerana dalam sukan, peraturan haruslah jelas! Ia juga memberikan objektif yang lebih jelas kepada tujuan pertandingan itu, disamping para peserta dapat lebih bersedia untuk mengikuti peraturan yang disediakan yang mungkin sekali berbeza dari peraturan sukan tempur seni asal mereka. Ini perlu untuk mengingati para peserta bahawa larangan yang ada pada sukan tempur seni asal mereka mungkin tidak dilarang dalam pertandingan inter-MA ini, dan begitu juga sebaliknya.
Sebagai contoh, bagi peserta silat, menendang lebih tinggi dari badan peserta adalah dilarang, tiada serangan kepala dibenarkan, dan peserta silat dibenarkan untuk memegang kaki lawan dan melakukan jatuhan! Berbeza dengan Taekwondo, peserta dibenarkan menendang kepala, dan tendangan bawah serta memegang kaki adalah dilarang! Dalam situasi sebenar dijalanan, SEMUA peraturan ini akan terbatal, dan satu-satunya jalan ialah mana-mana kaedah yang berkesan untuk mengalahkan lawan! Jadi, bagi pesilat, jika dalam suasana perlawanan jalanan yang memerlukan mereka menyerang kepala lawan dengan tendangan, maka mereka perlu menggunakannya, manakala bagi pelatih Taekwondo, jika situasi sebenar memerlukan mereka menendang kaki lawan, maka mereka wajar melakukannya!
Kecuali peraturan perlawanan jalanan digunakan (iaitu no rules adapt), maka perlawanan ala-ala brawling, iaitu the stronger stand still and continue digunakan, maka satu peraturan baru yang selaras bagi semua harus diperkenalkan sebelum seseorang pelatih mana-mana seni bela diri bersedia menyertainya. Harus diingat, kepelbagaian Martial Arts di dunia ini, masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Masing-masing mempunyai aspek tertentu yang dipentingkan dalam sistem latihan mereka, jadi ingin menguji keefektifan sesuatu seni itu dengan mempertandingkannya dalam satu pertandingan merupakan satu tindakan yang agak naif walaupun tidak dinafikan nilai hiburan yang mungkin dipersembahkan!
Lagipun, apa yang dapat dicapai dari pertandingan sebegini bukanlah seni manakah yang paling hebat, tetapi siapakah yang mempunyai skill, taktik dan latihan yang lebih baik! Namun, ketiadaan peraturan yang selaras hanya menjadikan ia bagaikan berat sebelah dan tiada indikasi yang betul-betul tepat untuk menyatakan yang pemenang adalah seorang ultimate fighter!
Ia seperti Mat rempit yang merempit di jalanan pada malam hari dengan lawan-lawan yang berlainan dan cabaran yang tidak tetap dan adil, dan mengaku merekalah jaguh, walhal mereka mungkin tidak mampu lepas pun pusingan kelayakan di Litar Sepang dengan pelumba professional yang sebenar!
Jadi aku memang amat bersetuju apabila PESAKA melarang ahli atau atlet mereka menyertai pertandingan sebegini...
T/t: Nantikan post seterusnya berkenaan Royalti Minyak pada pandangan seorang pengundi berdaftar... "D
No comments:
Post a Comment
trashtalk here, beware, everything you said can and will be used against you~ LOL