Saturday, February 6, 2010

MTA harus cermin diri sendiri...

Malaysian Taekwondo Association (MTA) telah digantung keahliannya oleh Suruhanjaya Sukan Malaysia atas krisis dalaman yang memalukan.

Badan sukan kebangsaan bagi sukan Taekwondo itu telah dituduh melaksanakan perlembagaan yang menyekat pembangunan sukan itu di Malaysia. Namun penggantungan ini ditentang di mahkhamah sejurus ia dikenakan, dan MTA memenangi kes rayuan mereka. Namun tindakan membawa perkara ini dilihat sebagai 'berani' oleh komuniti sukan amnya dan Taekwondo khasnya apabila MTA secara terang-terangan berani melawan keputusan Suruhanjaya Sukan Kebangsaan, iaitu satu badan tertinggi yang menyelia perkembangan sukan di negara ini.


Logo MTA


Situasi bertambah kompleks apabila sebaik MTA digantung oleh suruhanjaya, dua pertubuhan yang cuba memayungi sukan Taekwondo Malaysia, agar segala aktiviti sukan ini mampu diselia dan diteruskan dengan baik, ditubuhkan. Satu ialah Malaysian Taekwondo Federation (MTF) dan satu lagi adalah Malaysian Taekwondo Clubs Association (MTCA). MTF cuba menjadi satu badan governing Taekwondo Malaysia, tugas yang sama dipegang oleh MTA sebelum ini, dan MTCA juga mempunyai motif yang sama cuma ia lebih menekankan kebajikan dan suara setiap kelab Taekwondo yang bernaung di bawah mereka.

Namun cerita ini tidak berakhir di sini, apabila selepas PRU yang lepas dan hasil dari penukaran menteri, Kementerian Belia dan Sukan memansuhkan penggantungan MTA bagi memberi peluang kepada para atlet kebangsaan untuk menyertai pertandingan-pertandingan antarabangsa di bawah kelolaan badan dunia Taekwondo, World Taekwondo Federation (WTF... bkn 'wtf' yg lain yer!!). Ini perlu memandangkan satu-satunya badan Taekwondo yang diiktiraf oleh WTF di Malaysia ialah MTA disebabkan sejarah selama 30 tahun mereka.

Keputusan ini secara amnya ditentang oleh komuniti Taekwondo, terutamanya pihak-pihak MTF dan MTCA kerana :

1. Ia melanggar pergantungan MTA oleh Suruhanjaya Sukan, sekaligus menafikan dan mengelirukan antara fungsi dan tugas KBS dan Suruhanjaya Sukan Kebangsaan.

2. Punca peggantungan MTA tidak diselesaikan oleh MTA, Suruhanjaya Sukan ataupun KBS sebelum peggantungan ditarik balik, walhal pihak yang paling rugi disebabkan oleh perlembagaan MTA sebelum ini adalah kelab-kelab Taekwondo di seluruh negara (akan dibincangkan kemudian)

Jadi penubuhan Urusetia ad-hoc dipersetujui oleh ketiga-tiga pihak yang terlibat bagi menyelesaikan isu ini once and for all...

Namun, beberapa hari ini, ini pula yang terjadi...

Masalah yang benar-benar berlaku adalah akar kepada masalah pertama yang menyebabkan pergantungan MTA dari awal-awal lagi...

Kemelut MTA sebenarnya sudah bermula seawal tahun 2002 lagi jika saya tidak silap. Pada ketika itu, saya pernah terdengar rungutan dari jurulatih sekolah saya ketika itu, mengenai ura-ura perubahan beberapa perlembagaan persatuan negeri yang memberi kesan terhadap kelab-kelab Taekwondo persendirian. Untuk pengetahuan anda, jurulatih saya pada ketika itu ialah seorang full-timer Taekwondo Instructor, dan perubahan perlembagaan yang melibatkan arah pungutan yuran dan hak bersuara kelab-kelab persendirian yang diubah nyata tidak memberi kesan positif kepada mereka. Sebaliknya, perlembagaan MTA yang digubah baru itu cuba memberi nafas baru kepada Persatuan-persatuan Taekwondo negeri yang ketika itu semakin tenat. Kemuncak kepada permasalahan ini ialah pada akhir 2004 apabila barisan tertinggi MTA ditukar sepenuhnya, TANPA pengetahuan bekas Pengerusi ketika itu (dan beliau telah mempengerusikan MTA untuk sekian lama lagi, iaitu dari penubuhannya!)

Antara perkara yang digubah dan mendapat tentangan majoriti ialah apabila setiap kelab wajib mendaftar di bawah persatuan negeri, dan kelas-kelas Taekwondo ini akan diselia oleh persatuan negeri. Pada permukaannya, tiada apa yang salah mengenai peraturan ini, tetapi ia mula menjadi masalah apabila persatuan negeri cuba campur tangan dalam hak memberi latihan kepada institusi-institusi seperti sekolah dan universiti. Ini kerana, pelajar-pelajar sekolah dan universiti boleh dikatakan sebagai nadi kepada punca pendapatan seni dan sukan ini di Malaysia. Oleh itu, lebih banyak sekolah yang dilatih oleh seseorang jurulatih itu, lebih banyak pendapatan yang mampu dijana mereka. Bukan sahaja faktor pendapatan yang menjadi soal. Dari institusi-institusi sebegini juga bakat-bakat baru Taekwondo dapat dicungkil, justeru, jika anda dapat menguasai institusi-institusi ini, anda mampu memperoleh satu 'pool' bakat dan potensi yang besar.

Dengan pemantauan dari persatuan negeri, setiap kelab yang bernaung di bawahnya wajar membayar yuran keahlian untuk meneruskan operasi mereka di peringkat kelab. Namun, aktiviti-aktiviti mereka di institusi-institusi seperti sekolah dan universiti akan dicampur tangan oleh persatuan negeri dengan alasan institusi kerajaan sebegini harus diambil alih oleh persatuan negeri. Masalah timbul apabila persatuan negeri lebih suka meletakkan 'kroni-kroni' mereka dalam menguruskan latihan dan pungutan yuran di institusi-institusi sebegini. Ini bakal mengganggu periuk nasi sebanyak mungkin Instructor sepenuh masa, yang suatu ketika dulu berpenat lelah bagi membuka kelas-kelas Taekwondo di sekolah-sekolah, dan harus melalui pelbagai prosedur yang sudah tentu telah ditetapan oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan setiap negeri. Satu lagi akibat dari peraturan baru ini ialah setiap kelab dinafikan suara dan hak mengundi dalam mana-mana mesyuarat agung yang melibatkan Persatuan Negeri dan MTA sendiri sebagai Badan Kebangsaan. Ini semestinya membolehan pucuk pimpinan mengekalkan kuasa mereka selama mungkin dan melaksanakan pelan ala-ala dictatorship dalam mentadbir MTA. Jadi, timbul rasa tidak puas hati kelab-kelab ini kerana mereka masih dikehendaki membayar yuran keahlian kepada Persatuan Negeri dan MTA, tapi dinafikan hak bersuara dalam mana-mana mesyuarat persatuan. Lebih dari itu lagi, segala jasa dan sumbangan kelab-kelab premier/utama dalam membekalkan atlet-atlet untuk pasukan negeri (SUKMA) dan negara (Sukan SEA, World Cup, Komanwel dan juga Olimpik) sebelum ini terus dilupakan sebegitu sahaja. Katanya "yang lepas itu biarlah lepas," dan segala yang bakal berlaku harus diterima oleh setiap pihak!

Kelab-kelab yang cuba membantah dan/atau tidak mahu mendaftar dengan MTA dan mengikut peraturan baru ini akan dihilangkan kelayakan mereka, para jurulatih akan ditarik lesen kejurulatihan mereka (yang dikeluarkan MTA), dan tidak akan diiktiraf oleh MTA dan secara langsung juga tidak akan diiktiraf oleh WTF (kerana MTA adalah satu-satunya badan yang diiktiraf oleh badan dunia itu untuk mentadbir urusan Taekwondo di Malaysia). Ini secara langsung akan menyebabkan operasi kelab-kelab ini selepas itu adalah 'haram' dari segi undang-undang, dan segala jaminan seperti insuran dan keselamatan yang dijanjikan oleh MTA dan WTF terhadap sukan ini di Malaysia, tidak akan terpakai ke atas kelab-kelab ini! Dengan kata lain, jika berlaku sebarang kemalangan atau kejadian buruk akibat dari latihan atau aktiviti Taekwondo yang dianjurkan mereka, mereka terdedah kepada tindakan undang-undang dari pihak yang terlibat, tanpa sebarang 'back up' dari MTA ataupun WTF sendiri (kerana mereka beroperasi secara 'haram'). MTA juga mengambil satu lagi langkah yang drastik apabila mengeluarkan surat pekeliling kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri untuk memastikan setiap jurulatih yang mengajar di setiap sekolah adalah mereka yang diiktiraf persatuan negeri dan MTA, atau mereka tidak akan menanggung atas segala kemalangan yang mungkin berlaku. Justeru, pihak sekolah mengambil langkah yang sungguh berhati-hati dan yang menjadi mangsa mostly adalah para pelajar sekolah yang selama ini mengorbankan masa dan wang ringgit dalam mempelajari dan menyertai aktiviti-aktiviti Taekwondo ini.

Segala bentuk tindasan yang diberikan terhadap kelab-kelab Taekwondo ini adalah semata-mata untuk cuba menghidupkan kembali persatuan-persatuan negeri. Ini kerana, over the years, Kelab-kelab ini telah mencapai banyak kejayaan dalam pertandingan dan menghasilkan beribu-ribu pelatih baru saban tahun! Ini menyebabkan kurangnya atlet yang dihasilkan oleh persatuan negeri sendiri disamping kualiti atlet yang dihasilkan juga merosot berbanding atlet-atlet dari kelab-kelab ini. Ini memberi kesan negatif terutamanya kepada tabung persatuan negeri, dan kebanyakan mereka sudah beroperasi seperti 'hidup segan, nak mati pun lagi segan...'

Atas faktor inilah diwujudkan satu badan khas yang baru setelah MTA digantung oleh Suruhanjaya Sukan, iaitu MTCA! MTCA ialah gabungan kelab-kelab Taekwondo yang cuba keluar dari MTA dengan peraturan baru mereka dan memperjuangkan hak kelab-kelab premier yang banyak berjasa kepada seni dan sukan Taewondo ini di Malaysia. Terdapat juga kelab-kelab seperti Kelab SARA TAekwondo di Kelantan yang awal-awal lagi mendapat naungan terus dari Korea Selatan, dan bernaung di bawah Moo Duk Kwan (Kwan=Sekolah dalam bahasa Korea), jadi mereka cuba untuk tidak terikat dengan MTA dan menjalankan operasi mereka dengan restu terus dari Kwan di Korea (Moo Duk Kwan merupakan antara Kwan utama di Korea yang mempunyai pengaruh besar dalam Kukkiwon, Kukkiwon ialah equivalent kepada Mekah bg pengamal seni Taekwondo, di mana peraturan-peraturan baru yang dikeluarkan mereka adalh WAJIB diikuti. Kukkiwon juga ialah ibu pejabat WTF). Banyak lagi kelab yang mengambil langkah serupa, dan once MTA digantung, mereka menubuhkan MTCA bagi membantu melicinkan aktiviti pentadbiran kelab-kelab Taekwondo di Malaysia. Satu kekurangan dalam penubuhan ini ialah, ia banyak menjaga kebajikan kelab-kelab Taekwondo, dengan memastikan atlet mereka masing-masing kekal di bawah kelab masing-masing, dapat mengikuti latihan dengan baik seperti era MTA pada awal-awalnya, memberi hak kepada kelab untuk mengutip yuran dari ahli masing-masing, dan bergabung tenaga dalam menganjurkan pertandingan pada peringkat kebangsaan. Dengan kata lain, MTCA membantu dalam mengekalkan dan cuba meningkatkan tahap sukan Taekwondo di negara ini. Namun, dari segi seni Taekwondo sendiri, ataupun masalah-masalah pentadbiran seperti melatih jurulatih-jurulatih baru, skuad teknikal pertandingan, melatih pengadil-pengadil baru serta urusan peperiksaan tali pinggang tidak dapat diselesaikan oleh hanya MTCA.

Untuk itu, MTF ditubuhkan atas asprasi mengekalkan kelicinan pentadbiran Taekwondo di Malaysia dan memastikan sukan ini tidak terkubur sebegitu sahaja. MTF secara prinsipnya cuba mengambil alih tugas yang selama ini dipegang MTA iaitu sebagai penaung kepada sukan dan seni ini di Malaysia dan sebagai badan berkanun kebangsaan bagi Taekwondo Malaysia. Ia ditubuhkan oleh 'orang-orang tua' dalam sukan ini di malaysia. Mereka adalah pemegang 'Dan' yang tinggi dalam sukan ini, mempunyai pengalaman bertanding dan melatih pada peringkat tertinggi di Malaysia, di samping mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam aspek teknikal Taekwondo seperti menguruskan kursus-kursus kejurulatihan, pengadilan, dan juga pemeriksa ujian kenaikan tali pinggang! Kebanyakan mereka adalah orang yang sama yang bertanggungjawab dalam penubuhan MTA dalam tahun 1974 dahulu. Segala perlembagaan dan peraturan juga adalah perlembagaan dan peraturan yang sama yang digunakan oleh MTA dahulu!

Walaupun MTCA dan MTF ditubuhkan, satu masalah yang jelas ialah mereka tidak diiktiraf oleh WTF, dan ini menyebabkan mereka tidak boleh menghantar atlet dibawah naungan mereka untuk pertandingan-pertandingan pada peringkat antarabangsa anjuran WTF ataupun persekutuan gabungan di bawah WTF. Ini termasuklah pertandingan peringkat sukan SEA sebagai contoh. Kemelut ini diburukkan lagi apabila MTA menyaman Suruhanjaya Sukan kerana mengenakan penggantungan terhadap mereka, dan sudah jelas mereka pada awalnya tidak menerima MTCA dan MTF selaku badan kebangsaan lain dalam sukan Taekwondo ini. Untuk itu, mereka awal-awal lagi mengadukan perkara ini kepada WTF menyebabkan WTF tidak mengiktiraf mana-mana Badan Kebangsaan yang lain dari Malaysia kecuali mereka mendapat pengiktirafan dari Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, namun ironiknya, kedua-dua MOM dan KBS memerlukan pengiktirafan WTF bagi mengiktiraf MTF ataupun MTCA sebagai badan berkanun yang baru untuk Taekwondo Malaysia. Ini meletakkan MTF dan MTCA pada jalan yang buntu, dan satu-satunya jalan penyelesaian ialah dengan bergabung balik dengan MTA!

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan seperti penganjuran Mesyuarat Agung Luar Biasa dan pembentukan Jawatankuasa ad-hoc, masalah ini masih jauh dari diselesaikan. Faktor politik dan tamakkan kuasa dan wang yang menjadi punca akar masalah sebenar masih belum boleh diselesaikan dan menyebabkan semua pihak masih bertelagah. Pihak pro-Persatuan Negeri masih mahukan mereka diberi lebih authority terhadap kelab-kelab Taekwondo dan menuduh kelab sebagai 'gilakan keuntungan', manakala kelab ingin jasa-jasa mereka dalam pembangunan sukan ini selama 30 tahun ini diiktiraf dan urusan pentadbiran kelab mereka tidak diganggu oleh persatuan negeri. Segala trash talks dan rumours sememangnya tidak membantu dalam mencapai kata putus dalam proses penyelesaian masalah ini.

Namun, yang jelas, yang menjadi mangsa paling besar dalam kemelut ini adalah para pelatih! Terutamanya atlet-atlet yang mewakili negara dan skuad pelapis. negara Seperti mana-mana sukan yang lain, untuk bersaing pada peringkat tertinggi, pendedahan berterusan adalah wajar, dan kemajuan serta pencapaian atlet-atlet terutamanya atlet muda harus diukur pada tahap pertandingan tertinggi! Namun, jika masalah pengiktirafan persatuan masih belum boleh diselesaikan, dan WTF masih tidak mengiktiraf selain MTA, maka kemajuan sukan ini di Malaysia sememangnya akan terbantut!

Oleh itu, para pencinta Taekwondo seluruh negara sebenarnya amat berharap kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan semua pihak mengambil langkah bertolak ansur, demi kepentingan sukan dan seni ini, serta ratusan ribu pelatih/pengamal seni ini di Malaysia. Selaku one big family dalam seni mempertahankan diri ini, adalah tidak manis apabila kita dipandang serong kerana perpecahan ini, dan setiap aliran seni mempertahankan diri yang lain semestinya memandang rendah ketidakmampuan kita untuk mencapai kata sepakat walaupun sudah lama berbincang!

Permainan politik harus dihentikan! Jangan dikaburi dengan janji-janji kemewahan wang ringgit apabila berada di puncak petadbiran Taekwondo Malaysia, kerana ia terang-terangan melanggar adab, prinsip dan falsafah kepahlawanan yang dipertahankan oleh pahlawan-pahlawan Hwarang beribu tahun yang lepas!

T/t: Cadangan saya, jika susah sangat untuk mencapai kata putus, masuk gelanggang dan kita selesaikan mengikut cara terhormat para pahlawan Taekwondo! Siapa menang, kita ikut dia...

2 comments:

  1. bkn ke sekarang ni taekwndo under TM(Taekwondo Malaysia) pulak ke?

    ReplyDelete
  2. yeah, you're right, tapi:

    1. artikel ni ditulis sebelum itu...

    2. TM on surface IS Malaysian new governance body for Taekwondo, tapi below the surface masih ada lagi, err.. you know, ketidakpastian...

    ReplyDelete

trashtalk here, beware, everything you said can and will be used against you~ LOL