Monday, July 19, 2010

Me: Filo'sofistikated'... II

Kita, manusia, sering menganggap sendiri sebagai lebih pandai... Dari itu, kita sering menganggap orang lain sebagai inferior, dan sering menganggap sendiri sebagai melihat dari sudut yang tidak dilihat oleh orang lain...

Dari itu, kita, kebanyakan masanya terlupa bahawa terdapatnya sisi yang kita sendiri terlepas pandang. Dalam menguatkan hujah kita dari sudut pandangan kita sendiri, kita secara langsung atau tidak, cuba menafikan sudut pandangan yang telah kita terlepas pandang...

Untuk itu, kita senang untuk beranggapan, mahupun menuduh mereka yang tidak memandang dengan sudut yang sama dengan kita sebagai individu atau kumpulan yang lebih inferior/bodoh daripada kita. Tanpa kita sedari, kumpulan yang lain itu, iaitu mereka yang bertentangan sudut pandangan mereka dengan kita [dan mereka sendiri telah terlepas pandang sudut pandangan kita], beranggapan bahawa kitalah yang telah terlepas pandang sudut pandangan mereka. Oleh sikap yang 'menganggap sendiri lebih pandai' itu, maka mereka akan melihat kita sebagai golongan yang lebih inferior/bodoh, dan memandang kita dengan pandangan yang 'menghina'...

Sedikit kita ketahui, dalam masa yang sama, terdapat satu pihak yang, memandang dari kedua-dua sudut pandangan [yang sama, dan bertentangan, dengan kita], dan, walaupun kebanyakan mereka bersikap 'berada di atas pagar', namun hakikatnya mereka, jauh dalam benak dan hati masing-masing, mengetawakan kedua-dua pihak, yang kononnya cuba mempertahankan pandangan masing-masing tanpa menyedari bahawa mereka, kedua-dua pihak, sebenarnya adalah benar, dan pada masa yang sama juga, adalah salah [kerana mengabaikan sudut pandangan 'lawan' mereka]...

Pihak yang cenderung kepada satu sudut pandangan sahaja akan menuduh pihak lawannya [yang memandang dari sudut berlainan] sebagai jumud dan tidak open minded, manakala pihak yang berada 'di atas pagar' didakwa sebagai tidak tetap pendirian, manakala pihak yang berada 'di atas pagar' ini pula menuduh kedua-dua pihak yang cuma cenderung kepada satu sudut pandangan sahaja sebagai tidak melihat keseluruhan situasi [the bigger picture].

Sedikit yang kita sedari, dalam pada itu, terdapat satu lagi pihak yang tidak melihat dari mana-mana sudut sekalipun, dan menganggap kesemua pihak yang lain sebagai inferior/bodoh kerana berbalah mengenai isu yang pada mereka, adalah sia-sia!

Jadi, dengan kata lain, selagi kita beranggapan bahawa kitalah yang paling pandai, atau sekurang-kurangnya percaya bahawa kitalah pihak yang mengikut golongan yang palng cerdik pandai, dan gagal menerima kritikan atau pendapat dari sudut lain, kita akan sentiasa menganggap bahawa kitalah yang paling benar, manakala pihak selebihnya sebagai inferior!

Dan tanpa kita sedari, pihak yang lain juga beranggapan sedemikian terhadap kita....


T/t: sesungguhnya manusia itu dalam kerugian...

No comments:

Post a Comment

trashtalk here, beware, everything you said can and will be used against you~ LOL